Friday, March 18, 2011

Memang Perangai PKR Suka ‘Tikam Belakang’

BATANG LUPAR 17 Mac – Sengketa antara Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Parti Kebangsaan Sarawak (Snap) dalam isu pembahagian kerusi pada Pilihan Raya Negeri Sarawak membuktikan bahawa perjuangan parti pembangkang bukannya berlandaskan kepentingan rakyat.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd, Shafie Apdal secara sinis berkata, pakatan yang kononnya berjaya dibentuk oleh pembangkang untuk memperjuangkan kepentingan rakyat hanyalah satu ‘pakatan tikam belakang’.

Katanya, PKR sendiri telah mengesahkan perkara itu apabila bukan sahaja ‘menikam belakang’ rakan sekutu mereka bahkan turut melakukan perkara yang sama terhadap pemimpin sendiri.

Katanya, PKR sendiri telah mengesahkan perkara itu apabila bukan sahaja ‘menikam belakang’ rakan sekutu mereka bahkan turut melakukan perkara yang sama terhadap pemimpin sendiri.

“Itu sebab ramai yang sudah keluar, N. Gobalakrishnan (Ahli Parlimen Padang Serai) dan ahli-ahli parlimen yang lain juga telah keluar.

“Lihatlah, sebelum pilihan raya sudah bergaduh antara komponen, kononnya berlandaskan pakatan rakyat, ini bukan pakatan rakyat tetapi pakatan tikam belakang, di depan lain dan di belakang mereka melakukan yang sebaliknya,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Projek Agropolitan Batang Lupar yang dibangunkan oleh Felcra Berhad di sini hari ini.

Projek Agropolitan Batang Lupar merangkumi pembinaan 126 buah rumah untuk penduduk miskin tegar dari Pulau Seduku dan kawasan persekitaran serta pembukaan ladang sawit seluas 1,600 hektar.

Selasa lalu, Presiden Snap, Edwin Dundang berkata, parti itu tidak menolak kemungkinan meninggalkan pakatan pembangkang di negeri ini selain mengumumkan bertanding di lebih 40 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak secara bersendirian.

Beliau menyifatkan PKR sebagai bongkak apabila mahu bertanding di 52 kerusi DUN dan hanya memberikan tiga kerusi sahaja kepada Snap yang hampir 50 tahun bertapak di negeri ini.

Dalam perkembangan berkaitan, Mohd. Shafie berkata, apa yang berlaku antara PKR dan Snap bukannya mengejutkan sambil mengingatkan rakyat negeri ini bahawa kerjasama antara parti pembangkang tidak akan berkekalan.

Beliau berkata, rakyat juga tidak sepatutnya tertipu dengan janji pembangkang untuk menyelesaikan isu tanah hak adat bumiputera (NCR) yang akan ditimbulkan setiap kali pilihan raya berlangsung di negeri ini.

“Sedangkan di Kelantan masalah tanah lebih jelas, geran tanah orang Asli tidak diberikan,

“Di sini (Agropolitan Batang Lupar), kita bukan sahaja beri tanah bahkan turut membina rumah untuk orang-orang kampung,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut membidas Snap yang mendakwa mereka mempunyai kemampuan untuk memperjuangkan masyarakat di luar bandar sedangkan sewaktu berada dalam kerajaan Barisan Nasional (BN) dulu, mereka tidak melakukan apa-apa.

“Bila datang pilihan raya, mereka janji macam-macam, bukan hanya projek dan tanah bahkan turut menjanjikan syurga,” katanya sinis.