Monday, May 28, 2012

Belia Negeri Selangor Tolak PR







Tanggal 26 Mei 2012 yang baru saja berlalu tentu saja meninggalkan detik hitam untuk kerajaan negeri Selangor yang diperintah oleh pakatan pembangkang, untuk entah ke berapa, realiti semasa sama sekali tidak menepati propaganda yang mereka sering war-warkan.

Jika selama ini mereka gah mendakwa perjuangan mereka mendapat sokongan kuat daripaga generasi muda, apa yang terjadi pada Sabtu lalu membuktikan sebaliknya apabila Himpunan & Konvensyen Belia Selangor 2012 yang dianjurkan oleh kerajaan PKR Selangor di Seksyen 7 Shah Alam gagal sepenuhnya.

Mengikut perancangan asal, sepatutnya majlis tersebut dihadiri oleh lebih 20,000 belia, mahasiswa dan remaja Selangor, namun yang berlaku ialah hanya sekitar 100 orang sahaja yang hadir.

Malah Anwar Ibrahim yang pada mulanya dijadulkan merasmikan Konvensyen tersebut akhirnya terpaksa membatalkannya pada saat akhir selepas jumlah peserta yang hadir terlampau sedikit. Malu & segan agaknya.

Sedari awal penganjuran Konvensyen Belia Selangor 2012 anjuran kerajaan negeri Selangor matlamatnya untuk divert golongan belia daripada memenuhi Himpunan Jutaan Belia 2012 anjuran Kerajaan Pusat yang di langsungkan di Putrajaya, lain yang diharap malu pula yang dapat.

Kegagalan Konvensyen Belia anjuran kerajaan negeri Selangor itu sekaligus membuktikan majoriti belia dan mahasiswa menolak dasar perjuangan pakatan pembangkang.

Sunday, May 27, 2012

PM Bukan Melayu: Nik Aziz Restu Impian Karpal Singh?



Suatu ketika dulu dalam tahun 1990, pemimpin utama DAP, Karpal Singh pernah mencabar PAS supaya melangkah mayatnya dahulu sekiranya PAS masih berkeras untuk meneruskan hasratnya untuk menubuhkan negara Islam.

Kira-kira 20 tahun berlalu, akhirnya PAS membatalkan hasrat untuk mendirikan negara Islam dengan alasan dalam Al-Quran tiada disebut negara Islam. Tanpa perlu melangkah mayat Karpal Singh akhirnya PAS tewas dan DAP bertepuk tangan gembira teruja.

Sepanjang awal tahun 1990-an, PAS gah bercakap perihal hukum hudud yang mahu diaplikasikan dalam pemerintahan negeri dan negara, namun selepas lebih 20 tahun berlalu Karpal Singh dan DAP membuktikan kemampuan mereka mengawal selia halatuju PAS.

Sekali lagi PAS tunduk pada kuasa politik DAP apabila hukum hudud kemudiannya ditongsampahkan oleh pembangkang kerana mengutamakan Buku Jingga.

Beberapa ketika yang lalu, kalimah Allah s.w.t menjadi isu kontroversi apabila pihak gereja Kristian menuntut hak penggunaan kalimah tersebut, sebagaimana biasa respon PAS ialah tunduk pada tuntutan tersebut semata-mata mahu menjaga kerjasamanya dengan DAP.

Untuk entah kali ke berapa, PAS mengalah lagi dek kerana takutkan kekuatan yang dimiliki oleh DAP disamping kelemahan PAS itu sendiri yang sudah tenggelam dalam angan-angan untuk ke puncak kuasa dengan bantuan non muslim pro DAP.

Beberapa hari yang lepas, Karpal Singh menganggap pelan transformasi yang dirintis oleh Perdana Menteri datuk Seri Najib Tun Razak sebagai tidak meluas dan hanya berada di pinggiran sahaja. Alasannya kerana status Bumiputera kini sepatutnya turut meliputi kaum lain yang lahir pada atau selepas negara merdeka.

Seperti biasa penyokong dan pemimpin PAS tampil mengangguk dan mengiakan tuntutan DAP itu atas nama samarata dan keadilan.

Kini, Karpal Singh sekali lagi buka mulut meluahkan hasratnya yang mahu mengangkat seorang Bukan Melayu sebagai Perdana Menteri Malaysia. Kata Karpal Singh, "Saya tidak pasti sama ada hasrat untuk melihat bukan Melayu menjadi Perdana Menteri termakbul dalam era saya, namun saya tetap akan memperjuangkan impian ini".

Respon awal dari PAS khususnya Nik Aziz, agak mengecewakan. Tiada bantahan keras ataupun persoalan yang dibangkitkan melainkan sekadar menyatakan kenyataan Karpal Singh itu hanyalah kata-kata dari seorang yang sudah tua. Dengan kata lain, bagi Nik Aziz kenyataan berbaur provokasi oleh Karpal Singh itu boleh diremehkan begitu sahaja.

Sedangkan sejarah menunjukkan tiap bait kata yang keluar dari mulut Karpal Singh seringkali melambangkan prinsip dan dasar DAP sebagaimana dibuktikan dalam bantahan keras DAP terhadap isu negara Islam, hukum hudud, isu kalimah Allah s.w.t, hak keistimewaan Melayu & Bumiputera dan lain-lain.

Justeru itu, melihat pada respon Nik Aziz yang seumpama melepaskan batuk di tangga, rasanya tidak salah untuk kita beranggapan yang Nik Aziz sebenarnya seperti merestui kenyataan Karpal Singh yang mahu jawatan Perdana Menteri dikuasai oleh bukan Melayu.

Untuk menguasai pemerintahan negara secara majoriti mudah, pembangkang hanya memerlukan 112 kerusi daripada keseluruhan 222 jumlah kerusi parlimen. Sekiranya 40 kerusi parlimen pembangkang itu milik DAP dibantu dengan sokongan 20 lagi ahli parlimen PKR bukan Melayu, tentu saja impian DAP mudah tercapai.

Bayangkan jika benar tampuk pemerintahan negara ini jatuh ke tangan pembangkang, tika itu mahukah Nik Aziz berdolak dalik mengatakan kenyataan Karpal Singh itu hanyalah ucapkata dan angan-angan orang tua sahaja?

Sunday, May 20, 2012

Cafe Rocket Bukti Penyalahgunaan Kuasa Kerajaan Selangor



Selama ini DAP dan pakatan pembangkang PR sering mendabik dada dan kerap bercakap besar seolah-olah merekalah juaranya dalam isu kredibiliti (kebolehpercayaan) dan integriti (kejujuran dan ketulusan). Dan, tidak sedikit penyokong DAP dan PR khususnya dari kalangan keturunan Cina yang menelan bulat-bulat retorik tersebut.

Malah ada juga segelintir orang India dan orang Melayu yang menyokong pembangkang turut sama menaruh kepercayaan serta terpengaruh dengan propaganda bombastik itu seolah-olah bagi mereka PR adalah paling telus, jujur, teguh amanah dan penuh kredibiliti.

Hakikatnya, realiti dengan fantasi jauh berbeza apatah lagi bila tiap bait kata dan janji mulus itu dilaungkan oleh golongan politikus yang resam kerja hariannya memburu kuasa dan harta berselindung disebalik retorik dan propaganda.

Pendedahan oleh bekas Naib Pengerusi DAP, Tunku Abdul Aziz berkaitan cabang perniagaan DAP, Cafe Rocket yang beroperasi tanpa kelulusan majlis bandaran hanyalah satu daripada pelbagai isu yang sudah sekian lama sengaja dipendam begitu saja oleh kerajaan pakatan pembangkang yang memerintah Selangor.

Satu pendedahan yang menarik kerana ianya menambah lagi koleksi kepincangan urus tadbir negeri oleh kerajaan Selangor yang turut dianggotai DAP sebagai rakan sepakatan dalam memerintah negeri Selangor.

Sebelum ini dalam kes Teon Beng Hock, isu rasuah dan penyalahgunaan tender kontraktor Bumiputera oleh penyokong Cina DAP pernah didedahkan dalam inkues terbuka beberapa tahun lepas namun telah dipolitikkan pemimpin negeri kononnya ia permainan politik oleh BN.

Menurut Tunku Aziz, Cafe Rocket tersebut yang terletak di Petaling Jaya dimiliki oleh ahli kanan DAP hingga kini bebas beroperasi tanpa permit sah dari Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) sejak hampir tiga tahun lalu.

Menurut Tunku Aziz lagi, apabila isu tersebut dibangkitkan oleh ahli-ahli DAP yang lain tiada tindakan konkrit diambil untuk menjawabnya melainkan seperti sengaja di sapu ke bawah karpet.

Mengikut rekod, perlancaran rasmi Cafe Rocket telah disempurnakan oleh Setiausaha Agung DAP merangkap Ketua menteri Pulau Pinang pada 4 Oktober 2009.

Timbul pertanyaan besar di sini, apakah punca utama yang mengecualikan Cafe Rocket daripada tertakluk pada undang-undang hingga dibenarkan beroperasi secara haram tanpa tindakan dari majlis bandaran?

Apakah disebabkan DAP sebagai komponen pendukung utama kerajaan negeri Selangor maka ia mendapatkan keistimewaan untuk melanggar aturan undang-undang tatkala banyak penjaja di tepi jalan terpaksa berdepan dengan langkah penguatkuasaan oleh MBPJ?

Mengapakah sehingga kini Menteri Besar Selangor, khalid Ibrahim terus berdiam diri sedangkan isu ini bukan sahaja berkait rapat dengan soal ketelusan dan kejujuran malah turut melibatkan penguatkuasaan undang-undang yang sepatutnya tiada mana-mana pihak pun terkecuali.

Adakah kerana pemimpin utama DAP, Ronnie Liu Tian Khiew berkuasa penuh sebagai EXCO ataupun Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan, Kajian Dan Penyelidikan maka kerana itu Cafe Rocket diberi kelebihan untuk beroperasi secara haram?

Adalah agak jelik dan memalukan bila selama ini DAP gah berkokok mendabik dada sebagai juara demokrasi yang memperjuangkan kredibiliti dan integriti namun bila saat memiliki secebis kuasa pemerintahan sampai masanya tidak berupaya merealisasikannya.

Selama hampir tiga tahun cafe Rocket beroperasi tanpa permit seperti mana kata Tunku Aziz bermakna selama tiga tahun ini kerajaan Selangor membenarkan berlakunya perlanggaran undang-undang dan penyalahgunaan kuasa.

Baru diberi nikmat menguasai kerajaan di peringkat negeri pun dah terpampang ketidaktelusannya mentadbir, bagaimana mungkin untuk mengurus tadbir sebuah negara yang tentunya menuntut lebih ketegasan dan integriti yang tinggi.

Jika beginilah realiti dan hakikatnya, tiada guna untuk DAP mahupun kerajaan PR Selangor untuk terus mendabik dada sebagai pejuang demokrasi yang berintegriti apatah lagi untuk terus beretorik mendakwa diri sebagai anti rasuah dan anti penyalahgunaan kuasa.

Thursday, May 17, 2012

Diplomat Singapura Melawat Pusat Pentadbiran PAS Kedah?


Malaysia mengalu-alukan lawatan Menteri Dalam dan Luar Negara Singapura, Masagos Zulkifli pada 7-10 Mei lalu. 

Sepertimana yang terkandung dalam kenyataan media pihak Singapura, dalam lawatan tersebut, beliau dijadualkan berjumpa dengan Timbalan Menteri Luar, Datuk Richard Riot Jaem dan Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Wira Abu Seman.

Selain itu, beliau juga dijadualkan bertemu dengan Datuk Seri Azizan Razak di Kedah serta DYMM Tuanku Syed Sirajuddin di Perlis. 

Namun, sumber-sumber dari Kedah mengkhabarkan bahawa Encik Masagos telah membuat lawatan sampingan yang tidak terkandung dalam jadual asal ketika berada di Kedah.   Jika beliau hanya berjalan-jalan tidak mengikut jadual perjalanan untuk ‘pekena’ laksa Kuala Kedah atau Mee Abu, bolehlah kita berkata ‘ada ku kesah?’

Tetapi, bila khabar yang diterima menyatakan beliau telah melawat Pusat Pentadbiran PAS Kedah, maka kita mula merasa curiga, hairan, serta marah. 

Jika ini benar, kita marah kerana tindakan ini jelas menunjukkan bahawa Singapura telah dengan sengaja menunjuk sikap tidak menghormati hubungan diplomatik antara kerajaan dua negara dengan mengunjungi pusat pentadbiran parti pembangkang Malaysia. 

Kita juga merasa hairan kenapa PAS membenarkan ini berlaku.  Sedangkan umum tahu sejarah antara Singapura VS Malaysia atau Lee Kwan Yew VS Tunku/Tun M/Melayu yang penuh dengan prasangka serta tidak pernah selesa.   Sifat kiasu Singapura yang enggan mengalah, enggan mengaku salah dan tidak boleh bertolak ansur dalam apa jua perkara membuatkan hubungan antara dua negara ini tegang.  Walaupun tegang tetapi tetap tenang kerana sifat pemimpin Malaysia yang cukup sabar dan berhemah dalam menangani karenah kiasu mereka.   

Siapa tidak tahu dendam dan impian Lee Kwan Yew untuk mengCinakan Malaysia sepertimana yang dilakukannya di Singapura.  Lee Kwan Yew juga tidak pernah berselindung tentang pendiriannya yang menganggap Islam itu sebagai penghalang perpaduan dan telah membuat kenyataan menyeru orang Islam agar tidak terlalu berpegang kepada agama agar lebih mudah untuk bercampur dan bermasyarakat. 

Dan siapa tidak tahu hubungan ‘abang-adik’ PAP dengan DAP.  Dikhabarkan juga bahawa Lim Guan Eng memiliki sebuah pejabat di Singapura dan hampir setiap minggu akan ke sana.  Untuk apa? Apa agendanya?  Apakah Pulau Pinang sebuah negeri di bawah jajahan Malaysia atau Singapura?   Semua ini masih lagi menjadi tandatanya dan masih belum terjawab. 

Kini dengan lawatan pihak kerajaan Singapura ke Pusat PAS kita tertanya-tanya lagi tidak cukupkah DAP sebagai adik kandung dan kini PAP ingin mengambil PAS sebagai adik angkat pula? 

Rasa curiga kita terhadap Singapura dan PAS bukanlah tidak berasas.  Kita tahu pilihanraya semakin hampir dan Kedah adalah negeri yang menuju muflis di bawah pimpinan PAS.   Tidak mustahil jika lawatan Singapura itu membawa niat untuk ‘membantu’ adik-angkatnya di Kedah.  Bantuan yang ditawarkan boleh jadi dalam bentuk ‘pelaburan’ melalui ‘kerjasama’. 

Justeru, persoalannya sekarang sejauh manakah kebijaksanaan kepimpinan PAS Kedah untuk membaca yang tersirat, yang tersurat serta mencongak-congak angka, kesan dan akibat jika mereka menerima ‘pelaburan’ dan ‘kerjasama’ dengan Singapura? 

Kebimbangan kita ini juga bukannya tidak berasas kerana kita cukup maklum dengan tahap ‘kebijaksanaan’ pemimpin-pemimpin PAS apatah lagi bila berhadapan dengan orang luar atau bangsa lain.   Pemimpin-pemimpin PAS, termasuk Ustaz Azizan bukannya pernah terdedah dengan persaingan dengan bangsa lain dan tidak punya pengalaman untuk menangani manipulasi, jauh sekali memahami agenda mereka.  

Kerana itu, kita bimbang Kedah akan ditimpa nasib seperti Kelantan di mana tanah-tanah rizab Melayu habis tergadai ke tangan orang akibat ‘kebijaksanaan’ pemimpinnya. 

Ustaz Azizan harus menjawab segala kemusykilan rakyat mengenai lawatan Singapura ke Pusat Pentadbiran PAS Kedah ini.  Jika tidak benar, katakan tidak benar.  Jika benar, katakanlah kenapa.

Rakyat ada hak untuk mendapat penjelasan bagi menghapuskan segala kemusykilan

Wednesday, May 16, 2012

Buku Jingga Lebih Utama dari Al-Quran?


Terbukti sudah isu hudud hanyalah gimik politik PAS sekadar untuk mengabui mata masyarakat Islam demi kepentingan politik kepartian. Bab sembang secara teori boleh kata semua pemimpin PAS dari bawah hingga atas cukup gah bercakap seolah-olah hari ini juga hudud akan dilaksanakan.

Itu teori, tapi bila masuk bab praktikal semuanya hancur manakan tidak, jawatankuasa teknikalnya hingga kini pun tak pernah selesai di susun dan satu mesyuaratpun tak pernah dibuat.

Terbaru, Presiden PAS, Hadi Awang sekali lagi nak tunjuk jaguh dalam isu hudud tapi sayangnya kejaguhannya hanya bertahan sehari dua saja. Sekali kena herdik dengan Karpal Singh terus tunduk malu nak angkat muka.

Melihatkan si Presiden dah layu kena herdik, mulalah dua tiga kerat pemimpin muda PAS nak tunjuk hebat konon nak pertahankan maruah parti sambil menegaskan hudud akan dilaksanakan juga nanti jika PR memerintah.

Cara pemimpin-pemimpin muda PAS bercakap dah macam ayam berkokok tahi sendiri lekat di ekor. Macamlah kerusi Parlimen yang akan PAS tandingi nanti melebihi 150 kerusi dan menang minima 120 kerusi parlimen bagi membolehkan PAS menguasai pembentukan dasar PR jika mengambil alih pemerintahan.

Realitinya, PAS hanya mampu angkat muka seketika untuk tunjuk juara, tak sempat penyokong PAS nak kembang dada rasa bangga, datang Anwar Ibrahim panggil semua kepala-kepala pembangkang akhirnya habis mesyuarat, keputusannya Buku Jinggay juga yang jadi rujukan utama PR.

Kata Anwar semua parti pembangkang dalam PR akan kekal berpegang pada konsesus persetujuan pada 28 September 2011 yang menetapkan Buku Jinggay sebagai dasar bersama.

Ringkas kata, apa sahaja situasi dan apa saja strategik PAS untuk menarik semula undi Melayu Islam yang makin jauh dari PAS kot manapun mesti tertakluk pada Buku Jinggay yang menetapkan tiada tempat untuk perlaksanaan hudud.

Akhirnya jadilah PAS macam ayam jantan kokok berderai-derai tapi tahi lekat di ekor sendiri, dulu sekali sekala bolehlah PAS gebang isu hudud untuk menarik perhatian khalayak Melayu Islam tapi sekarang nak sembang saja pun dah tak boleh sebab risau pengundi Cina DAP pula yang lari dari PR.

Dulu PAS tuduh UMNO lebih mendaulatkan perlembagaan negara berbanding Al-Quran sekarang tuduhan tersebut dah jadi boomerang kena atas muka PAS pula apabila Buku Jinggay kini dah macam kitab suci lebih diutamakan dan bernilai tinggi berbanding Al-Quran.

Ganggu Najib Di London Hanya Untungkan BN


BERLAWANAN dengan tanggapan Anwar Ibrahim bahawa tindakan beberapa orang penyokong Bersih (sebut Pakatan Rakyat) di London semalam akan memalukan serta menjatuhkan imej Datuk Seri Najib Tun Razak, ia sebaliknya bertukar menjadi medan untuk membuktikan kepada dunia bahawa Najib adalah seorang pemimpin yang tidak mudah melatah, sebaliknya tenang dalam menghadapi situasi yang agak ‘mencemaskan’.

Mungkin Anwar memikirkan 2 orang penyokong Bersih itu akan digari, ditekan kepalanya kebawah oleh polis UK ataupun pengawal peribadi Najib setelah cuba mengganggu ucapan beliau.  Imej-imej seumpama itu penting untuk menyokong pembohongannya bahawa Najib adalah seorang pemimpin yang zalim.  Tapi itu tidak berlaku, yang berlaku ialah, kedua orang terlibat diam dengan sendirinya setelah di’bahasa’kan oleh Najib secara terbuka. 

Sekali lagi, tindakan yang sepatutnya menjadi senjata menekan Najib, berubah arah kepada menekan Anwar dan Bersih pula.

Tindakan tidak beradab di London semalam, hanya mengulangi tindakan tidak beradab perusuh Bersih 3.0 di jalan-jalan raya sekitar Dataran Merdeka pada 28hb April yang lepas.  Rakyat yang naik meluat dengan kejadian rusuhan di Kuala Lumpur itu, semakin meluat dengan pendekatan hampir sama yang dilakukan oleh 2 ke 3 penyokong Bersih di London semalam.

Kita tidak tahulah dari mana budaya seumpama itu dikutip, yang nyata ia bukan budaya dan pendekatan orang Malaysia.  Dalam tradisi masyarakat yang bertamadun pun, pendekatan ‘hostile’ seperti itu bukan satu kebiasaan, tak kira apa jua alasan.  Ada banyak pendekatan lain yang lebih baik boleh digunakan untuk menyatakan pendapat dan meluahkan perasaan.

Penulis sangat yakin, perbuatan itu semata-mata dibuat untuk mendapat perhatian media asing yang hadir untuk dijadikan cerita bahawa Najib ditentang oleh rakyatnya sendiri walaupun berada di luar negara.  Hakikat yang sebenarnya, hanya 2 ke 3 orang yang terlibat dan kelakuan biadap itu berlangsung tidak sampai beberapa minit pun.  Tidak cukup untuk mengatakan Najib ditentang rakyatnya sendiri (Malaysia ada 27 juta rakyat).

Kalau itupun dijadikan asas untuk mengatakan Najib ditentang rakyatnya sendiri, nampak sangatlah media asing tersebut tidak berminat dengan kebenaran tapi dengan sensasi dari pemberitaan seumpama itu.

Dari sudut demokrasinya, majoriti rakyat Malaysia sudah memilih Najib sebagai Perdana Menteri dan para minoriti yang lain sepatutnya akur dengan kehendak tersebut, walaupun tidak berpuas hati dengan pilihan majoriti yang lebih besar tapi inilah demokrasi.

Perkara ini jugalah yang disentuh Datuk Seri Najib dalam ucapannya selepas kekecohan yang cuba dicetuskan penyokong Bersih itu dipatahkan oleh beliau sendiri.

Perlu diingat, ada lebih beratus-ratus orang rakyat Malaysia yang hadir dalam sesi di London semalam, dan 2 ke 3 orang ini hanya mengambil kesempatan dari itu untuk menunjuk hero dan provok yang lain supaya turut serta, malang sekali bagi mereka (keuntungan bagi Perdana Menteri), itu tidak berlaku.

Malah kehadiran beliau disitu turut disambut  dengan hangat sehingga berebut-rebut orang yang nak bersalam dengan beliau – pemandangan yang boleh membuatkan bulu mata Anwar, Nik Aziz dan Ambiga terbakar.

Yang nyata, perbuatan biadap itu dan ketenangan Perdana Menteri hanya menguntungkan lagi BN ddalam menghadapi pilihanraya akan datang.  Nak mengatakan Najib dimalukan, penulis tidak nampak dimana yang beliau dimalukan sebab disamping perbuatan biadap itu berlaku dalam masa yang sangat singkat, Najib sendiri yang mengendalikannya dengan mengarahkan penyokong Bersih yang menjerit-jerit itu supaya diam.

Dan mereka benar-benar diam!!!

Semua ini pada penulis hanya akan memudahkan lagi kempen BN dalam pilihanraya akan datang.  Untuk Bersih ini sahaja, ada begitu banyak material untuk menunjukkan kebiadapan puak-puak ini dalam memuaskan nafsu politik masing-masing.

Kalau boleh penulis nak menggesa supaya diadakan lebih banyak lagi perbuatan biadap sedemikian diaturkan Anwar.  Baru senang kerja kami.

Tuesday, May 15, 2012

POLEMIK NEGARA ISLAM PAS-DAP AKAN KUBURKAN PAKATAN


Nampaknya setiap kali hampir demam pilihan raya, isu negara Islam akan timbul semula.

Yang menjadi karektor dalam adegan polemik isu negara Islam ialah PAS sebagai protaganis atau pelopor dan DAP yang menentang atau antagonis.

Setiap kali PAS membuka mulut cuba menghidupkan impiannya untuk membentuk Daulah Islamiyah ala acuan politiknya, DAP akan segera menghentam.

Lebih dua dekad lalu semasa kedua-dua parti masih menjadi seteru ketat politik, Karpal Singh mencabar pemimpin PAS supaya 'langkah mayatnya dahulu' jika berani menampilkan cita-cita perjuangan mereka.

Kini perkelahian mereka masih berterusan, yang berbeza hanya kedua-duanya kini menjadi rakan kongsi dan kawan baik dalam Pakatan Rakyat.

Terkini, Karpal yang sudah menjadi Pengerusia Kebangsaan DAP mengkritik Presiden PAS, Abdul Hadi Awang kerana bercakap mengenai cita-cita PAS mahu menubuhkan negara Islam.

Abdul Hadi berkata sekiranya parti itu menjadi rakan kongsi terkuat dalam kerajaan pusat apabila memerintah kelak, impian itu akan menjadi realiti.

Malah PAS mahu meminda Perlembagaan Persekutuan untuk merealisasikan cita-citanya itu.

Bagi DAP, negara Islam versi PAS akan bermakna berkuburnya parti yang memperjuangkan slogan 'Malaysian Malaysia' - satu perjuangan yang hanya berlandaskan kepada konsep rasisme Cina.

PAS dan DAP hanya bersatu di dalam Pakatan Rakyat atas peranan pujukan PKR yang diterajui Anwar Ibrahim.

Tanpa Anwar, tidak mungkin PAS dan DAP akan duduk semeja apatah lagi tidur sebantal.

Dengan masalah dalaman  melanda PKR yang semakin parah dan kucar kacir, ia tidak lagi mampu menjadi simen yang mencantumkan perkahwinan antara PAS dan DAP.

Tambahan lagi, Anwar yang dibebankan dengan skandal seks songsang berpanjangan tidak mungkin dapat mempertahankan maruah,  moral dan kredibilitinya sebagai pemimpin Pakatan Rakyat.

Mungkin api persengketaan dapat diredakan pada permukaannya tetapi perkelahian PAS-DAP adalah seperti api dalam sekam yang akan membakar seluruh Pakatan Rakyat dalam masa terdekat.

Setelah lima wakil parlimen PKR melompat menjadi anggota bebas dalam Dewan Rakyat, PKR tidak lagi menjadi blok terbesar dalam pakatan pembangkang.

Jawatan Anwar sebagai Ketua Pembangkang dalam Parlimen hanya dikekalkan sebagai tanda hormat PAS dan DAP, tidak lebih daripada itu.

PAS dan DAP muncul sebagai dua parti yang lebih kuat daripada PKR.

PKR dilihat sebagai parti ang tidak boleh diharap untuk memimpin pakatan pembangkang kerana kualiti pemimpin-pemimpinnya yang lemah serta tidak kukuh prinsip perjuangan.

Maka dalam pertembungan PAS-DAP kali ini dalam isu negara Islam, mereka mungkin tidak mendengar lagi nasihat Anwar, dan tidak mustahil mengambil haluan masing-masing.

Lagi pun PAS berpendapat mereka tidak lagi memerlukan PKR untuk terus berkuasa di Kedah dan Kelantan, sementara DAP yakin kekal memerintah di Pulau Pinang dan beranggapan pengaruhnya melebihi PKR di Sabah dan Sarawak.

Natijahnya, akan berlaku perebutan kuasa hebat antara PKR, PAS dan DAP menjelang pilihan raya umum ke 13 nanti.

Mimpi gah mereka untuk menawan Putrajaya hanya akan tinggal mimpi dan fatamorgana yang semakin pudar dan akhirnya lenyap.