Monday, October 1, 2012

Bajet Alternatif Bercanggah Dengan Buku Jingga



Bajet yang dibentangkan oleh Dato’ Seri Najib nampaknya cukup ampuh sehingga menyebabkan Pakatan Rakyat terpaksa terus memperkatakannya semata-mata untuk mencari kelemahan dan menimbulkan keraguan.   PR juga harus terus mempertikaikan Bajet tersebut bagi mengalih pandangan rakyat daripada Bajet tong kosong yang dibentangkan mereka.

Secara amnya, jumlah peruntukan antara kedua-dua Bajet tidaklah banyak berbeza.  Yang membezakan kedua-duanya ialah pertama, ruang lingkup atau skop golongan rakyat yang mendapat manfaat di mana Bajet BN merangkumi semua golongan dari OKU hinggalah kepada korporat tetapi Bajet PR hanya melibatkan rakyat secara umum.

Keduanya ialah perancangan BN jelas mengambil kira kesan dalam jangka masa panjang tetapi PR hanya fokus kepada kesan segera.

Ketiganya, Bajet BN adalah menjurus kepada kesejahteraan rakyat dan kemajuan negara tetapi PR hanya menumpukan kepada faedah langsung kepada rakyat tanpa memikirkan kesannya kepada ekonomi negara.

Keempat, Bajet BN adalah selari dan tidak pernah tergelincir dari corak dan jatidiri negara yang berlandaskan dasar-dasar ekonomi sedia tetapi Bajet PR kelihatan cenderung untuk mencabar dasar-dasar negara, malah tidak begitu konsisten dengan Buku Jingga mereka sendiri.

Antaranya, penghapusan duti eksais kenderaan sebanyak 20%, pendidikan percuma dan penghapusan PTPTN.

Menurut laman Suara PR, alasan ia tidak selari dengan Buku Jingga ialah kerana kesemua insentif tersebut bersifat jangka panjang sedangkan Buku Jingga adalah janji 100 hari pertama Pakatan Rakyat jika diberi kuasa untuk memerintah negara.

Malah, laman tersebut juga mengakui bahawa penghapusan PTPTN tidak akan berlaku dalam sekelip mata tetapi mengambil masa 2 tahun, begitu juga dengan penghapusan tol di mana yang dijanjikan di dalam Buku Jingga bukanlah penghapusan segera tetapi ‘tindakan segera (dalam masa 100 hari) untuk mengarahkan Khazanah Berhad, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)  dan lain-lain badan milik kerajaan yang memiliki konsesi lebuhraya untuk  menyempurnakan ambil alih aset lebuhraya oleh kerajaaan dengan tujuan  menghapuskan tol’.

Jawapan yang diberi oleh PR mengenai percanggahan Bajet Alternatif dengan Buku Jingga menunjukkan yang mereka sememangnya berniat untuk mengelirukan rakyat.  

Bagi menutup mata rakyat dari menyedari putar-belit mereka, PR mewar-warkan bahawa Bajet yang dibentangkan mereka akan membolehkan rakyat memiliki pendapatan boleh diguna pakai tambahan sebanyak RM930 setiap bulan iaitu dari penjimatan harga kereta yang lebih rendah iaitu sebanyak RM70, penjimatan daripada penghapusan tol (RM50), penghapusan pinjaman bagi peminjam PTPTN yang layak (RM200), elaun pengajaran khas yang dijanjikan dalam Buku Jingga (RM500), sumbangan kerajaan ke dalam Caruman Wanita Nasional (RM50) dan penjimatan daripada harga makanan dan barangan susulan kos minyak dan pengangkutan (RM60).

Kita percaya, bukan semua rakyat Malaysia buta ekonomi seperti Anwar Ibrahim yang hanya berkelulusan Pengajian Melayu dengan gred cukup-cukup makan.   Dan kita pasti, hujah penjimatan RM930 ini tidak mampu memperdaya rakyat yang benar-benar bijak.

Bukan semua rakyat terlibat dengan pinjaman PTPTN, dan bukan semua rakyat bekerja sebagai guru yang akan mendapat elaun RM500 sebulan serta bukan semua rakyat perlu melalui jalan bertol, melainkan mereka yang tinggal di bandar besar.  Sedangkan majoriti rakyat berada di kampung-kampung dan bandar-bandar kecil.   Oleh itu, bagaimanakah nilai penjimatan RM930 itu bagi diri mereka-mereka ini?

Selain itu, penjimatan harga kereta sebanyak RM70 tidak akan membawa banyak perbezaan.  Manakala penurunan harga minyak dan makanan adalah bergantung kepada harga pasaran dunia dan bukan seratus-peratus di tangan kerajaan PR.

Namun, katakanlah kerajaan PR masih mampu menunaikan semua janji ini, rakyat mungkin boleh bergembira, tetapi hanya untuk sekejap cuma.  Ini kerana pendidikan percuma, penghapusan PTPTN dan tol, penurunan harga minyak dan barangan serta duti eksais kenderaan bakal meletakkan negara dalam keadaan krisis dalam masa hanya beberapa tahun dari perlaksanaannya.

Pendidikan percuma serta penghapusan tol dan PTPTN bermakna kos akan ditanggung oleh kerajaan, sekali gus menjejaskan peruntukan untuk bantuan dan program lain yang lebih memberi manfaat kepada rakyat.  Selain menyumbang kepada masalah lain iaitu kualiti pelajar yang menurun lalu membawa kepada masalah sosial yang bertambah.   Begitu juga dengan kualiti penyelenggaraan lebuhraya juga tidak mustahil akan mengalami nasib yang sama.

Manakala penghapusan duti eksais kenderaan sebanyak 20% pula akan menyebabkan industri kereta terpaksa menanggung harga barangan yang lebih tinggi untuk terus beroperasi serta mampu membunuh industri automobil nasional dalam jangka masa panjang.  Ini pastinya satu kerugian yang besar untuk negara dan juga rakyat termasuk vendor-vendor yang terlibat dalam industri ini.

Begitu juga dengan perancangan PR untuk memecahkan monopoli dalam perniagaan yang mana mendedahkan GLC kepada pemilikan asing selain ‘menjerut’ peluang kaum bumiputera untuk sama-sama duduk di bangku korporat.

Dari semua ini, kelihatan jelas bahawa PR menganggap rakyat semua adalah bodoh-bodoh belaka dan tidak mampu mengupas dan meneliti kesan jangka panjang dari Bajet yang dibentangkan mereka.  

Hakikatnya, rakyat dapat melihat dengan jelas bahawa PR tidak berpandangan jauh dalam merancang Bajet kerana Bajet Alternatif PR adalah sebenarnya Bajet Pilihanraya.  Oleh itu, segala-galanya difikir dan dibentangkan untuk menang pilihanraya bukan untuk kesejahteraan rakyat dan negara.

Thursday, September 13, 2012

Azizan Rela PAS Kalah di Kedah?



Dato’ Seri Azizan Razak, Menteri Besar Kedah yang sebelum ini dikhabarkan sering keluar masuk hospital kini semakin sihat.  Cakapnya dan gelaknya juga sudah kembali kuat.  Jika beliau dikatakan hampir pasti akan meletakkan jawatan atau tidak akan bertanding kerana sebab-sebab kesihatan, kini kata-kata itu perlu difikirkan semula.

Azizan nampaknya begitu bersemangat untuk bertanding lagi dan meletakkan jawatan tentulah jauh sekali.

Keadaan ini menyebabkan musuh-musuhnya yang berada di dalam selimut, di dalam lipatan, di atas bumbung, di dalam kereta dan sebagainya semakin resah.  Walaupun begitu banyak serangan di lakukan mereka secara terbuka, nyata sehinggalah kepada cara halus untuk menjatuhkan Azizan, Azizan nampaknya akan terus kekal dan tidak berganjak.

Apatah lagi apabila golongan pro-Ulama di dalam PAS kini dikatakan mula bangkit setelah mendapat tiupan semangat baru dari Nasharuddin.  Azizan yang berada dalam kelompok Ulama difahamkan amat sukar bertoleransi dengan puak Anwarinas.  Beliau juga menolak kumpulan Syiah mentah-mentah serta  enggan berkompromi dengan DAP.

Pendirian Azizan inilah yang menyebabkan beliau enggan melepaskan jawatannya.  Ini kerana, kesemua musuh-musuh dalaman yang mensasarkan jawatannya adalah terdiri dari sama ada golongan Anwarinas, Syiah atau talibarut DAP.   Antaranya ialah Phahrolrazi, Mahfudz dan Mat Sabu.

Sumber-sumber dalaman membayangkan yang Azizan lebih rela PAS kalah di Kedah daripada menyerahkan kerusi Menteri Besar kepada mana-mana dari mereka di atas.   Bagi Azizan, biarlah UMNO yang menerajui asalkan bukan golongan pro-LGBT, Syiah atau alat kafir harbi.

Kita sanjung prinsip dan pendirian Azizan.  Namun, kita ingin ingatkan Azizan bahawa prinsip yang mulia sahaja belum cukup untuk memastikan negeri terpelihara dan rakyat hidup sejahtera.

Benar, membiarkan puak-puak LGBT, Syiah dan Kafir harbi memerintah adalah berdosa tetapi pemimpin yang gagal menangani masalah rakyat, membiarkan negeri terus mundur, tidak peka dengan kemusnahan alam sekitar dan tidak mampu menjana pendapatan negeri juga berdosa.  

Jelas, pemimpin yang sebegini adalah tidak layak berada di tempatnya.

Bukan Azizan tidak tahu bahawa keadaan negeri Kedah adalah semakin merosot dari sebelumnya.  Anak-anak syarikat kerajaan negeri seolah-olah masih ‘terpinga-pinga’ walaupun sudah hampir sepenggal PAS memerintah.

Azizan langsung tidak punya perancangan untuk meningkatkan pelancongan di Kedah, malah pusat pelancongan sedia ada juga tidak dipelihara dengan baik.  Segala projek besar yang digembar-gembur konon bakal memacu ekonomi Kedah, hanya tinggal cakap kosong belaka kerana tiada siapa yang mahir untuk melaksanakannya.  Lebih buruk, bila begitu ramai yang menjadi tamak haloba akibat tidak pernah merasa atau bermimpi akan mampu duduk di mana mereka berada.

Projek peninggalan BN yang telah berjaya seperti Kulim Hi-Tech Park juga kini telah menampakkan masalah akibat ketidakcekapan dan ketamakan pihak pengurusan.  Namun, Azizan langsung tidak menyedarinya.

Kedah kini bergerak ke belakang dan bukannya ke hadapan gara-gara mempunyai pemimpin yang tidak layak berada di tempatnya.  

Azizan pasti tahu bahawa menurut Islam, meletakkan sesuatu yang bukan di tempatnya adalah satu ketidakadilan.  Dan ketidakadilan pasti membawa kepada kemusnahan.

Justeru, jika Azizan benar-benar seorang yang berpegang kepada prinsip yang mulia, maka Azizan juga wajib memikirkan mengenai ketidakadilan yang sedang dilakukannya terhadap rakyat Kedah.  Mungkin elok jika Azizan membantu mengembalikan saja Kedah ke tangan BN untuk kebaikan semua.

Saturday, September 1, 2012

Demokrasi ala PR ialah ‘berak atas gambar PM’



Syawal belum pun berlalu, Aidilfitri masih lagi segar, semangat persaudaraan dan bermaaf-maafan terus terasa dan semakin kuat dengan diikuti sambutan Hari Merdeka.
Namun, suasana dan semangat yang sama ternyata tiada dalam puak-puak penyokong dan pemimpin Pakatan Rakyat. Jika itu belum cukup jahat lagi, mereka cuba pula mengganggu dan menghalang rakyat Malaysia yang lain dari menikmati suasana dan semangat yang murni itu.
Di kala rakyat menyambut Aidilfitri dan Merdeka dengan penuh keinsafan, keikhlasan dan kesyukuran, PR pula mempertontonkan kepada dunia sambutan Merdeka yang penuh dengan dendam kesumat, dengki khianat dan kebencian yang meruap-ruap.
Menggunakan nama ‘Janji Demokrasi’ mereka menghina potret Perdana Menteri dan mengkhianati bendera negara, sekali gus menunjukkan bukan sahaja mereka tidak punya sifat patriotik, tetapi juga tidak beradab dan tidak bermaruah.
Nampaknya demokrasi bagi PR ialah kebebasan membuat aksi tidak senonoh sesuka hati di khalayak ramai, contohnya seorang anak muda, dipercayai dari golongan LGBT membuka separuh seluarnya dan membuat aksi ‘membuang’ ke atas gambar Perdana Menteri.
Demokrasi bagi mereka juga ialah menolak segala-galanya yang membentuk identiti negara ini, termasuk benderanya.
Dari rakaman gambar dan video yang bertebaran di internet, peserta-peserta Janji Demokrasi ini tampak begitu teruja dan seronok tidak terhingga kerana dapat mendemonstrasikan tahap kebodohan mereka yang maksima. Mana tidaknya, dalam percubaan mereka menghina Jalur Gemilang dan Perdana Menteri, langsung mereka tidak sedar bahawa yang hinanya adalah mereka sendiri.
Hanya orang yang paling bodoh sahaja yang megah mempertontonkan kepada dunia sikap tidak tahu malu dan tidak punya maruah sebagai manusia ataupun sebagai warganegara sebuah negara berdaulat.
Apapun, kita tidak hairan melihat jenis manusia yang menyokong Pakatan Rakyat ini kerana mereka pastinya meniru sikap pemimpin mereka.
Kita telah sedia maklum bahawa kurang ajar, biadab, angkuh, bongkak, tidak senonoh, penuh kebencian, khianat dan marah atau dendam tanpa sebab yang munasabah, adalah identiti rasmi Pakatan Rakyat.
Di mana-mana saja mereka berada, tidak kira di Parlimen, di dalam majlis rasmi seperti Pertabalan YDP Agong apatah lagi di jalanan, malah di dalam pemilihan parti mereka sendiri, mereka pasti berusaha untuk mengganggu dan menggugat ketenangan dan keharmoniannya.
Keadaan yang aman ternyata menggusarkan mereka.
Kerosakan dan kemusnahan adalah matlamat perjuangan mereka. Kerana itu, mereka amat teruja dengan pemberontakan dan keganasan di negara-negara lain serta bercita-cita ingin mencetus keadaan yang sama di Malaysia.
Tindakan membawa bendera yang bukan bendera Malaysia perlu dilihat dalam konteks yang lebih jauh dan mendalam dari segi agenda PR yang sebenar. Bendera yang menyamai gabungan bendera Republik Indonesia dan Singapura itu boleh diterjemahkan sebagai cita-cita PR untuk menjadikan negara ini negara Republik yakni, menghapuskan Institusi Raja-raja. Dan sesungguhnya, ini bukan lagi rahsia malah mereka telah pun mengambil langkah ke arah itu dengan membelakangkan Sultan dalam sambutan Hari Kemerdekaan peringkat negeri Selangor.
Ia juga boleh dibaca sebagai cerminan cita-cita DAP yang mendokong impian Lee Kwan Yew/Singapura yang tidak pernah padam untuk menakluk Malaysia.
Selain itu, ia menonjolkan kecenderungan ke arah landskap politik Indonesia yang memberi ruang kepada golongan pluralis dan juga LGBT untuk menyatakan kehadiran mereka secara rasmi di dalam negara.
Maka jelaslah bahawa puak-puak Janji Demokrasi ini langsung tidak menghargai kemerdekaan. Sebaliknya, mereka amat mendambakan penjajahan dari segi minda dan juga fizikal iaitu dari Indonesia dan Singapura. Mereka menolak jati diri dan identiti Malaysia secara total dan menawarkan diri serta negara untuk diubah dan dibentuk berkiblatkan kedua negara tersebut.
Benar, himpunan mereka semalam tidak boleh disifatkan sebagai mengancam keselamatan secara fizikal. Namun, ia membayangkan ancaman yang jauh lebih besar iaitu terhadap iman dan minda generasi kita di masa depan.
Justeru, kepada peserta Janji Demokrasi yang tiada maruah sekalian, jika anda terlalu amat bencikan Malaysia, Malaysia juga sepuluh kali ganda membenci anda. Dan sedarlah bahawa anda hanya mewakili segelintir iaitu tidak sampai 1% dari 28 juta rakyat Malaysia. Ini boleh dibuktikan dari jumlah yang menyertai perhimpunan BERSIH sebelum ini, atau jumlah yang hadir dalam himpunan Janji Demokrasi semalam, berbanding jumlah rakyat yang mengikuti sambutan kemerdekaan pagi tadi.
Anda seharusnya tahu bahawa mengikut undang-undang demokrasi, pihak majoriti mempunyai hak menentukan hala tuju, identiti dan bentuk negara ini manakala pihak minoriti wajib menerima keputusan majoriti. Mungkin anda terlupa bahawa majoriti rakyat telah memilih BN dan bukannya PR dalam PRU yang lepas.
Justeru, jika benar anda semua mendokong demokrasi seperti yang dilaungkan, maka anda seharusnya menerima Malaysia sebagaimana ia wujud hari ini di bawah pemerintahan BN. Jika tidak, anda tidak ada hak untuk memberontak atau mengganggu keamanan negara tetapi anda disaran menggunakan hak anda untuk melepaskan kewarganegaraan anda dan berhijrah ke Indonesia atau Singapura dengan seberapa segera.   

Thursday, August 30, 2012

Senario PAS/DAP Kuasai Parlimen



Penulis tertarik dengan tulisan Timbalan Editor akhbar Sinchew Daily yang bertarikh 28 Ogos 2012 mengenai senario PAS menguasai Parlimen dan memperkenalkan undang-undang Jenayah Islam (hudud).  

Dalam artikel tersebut, beliau membayangkan seperti berikut:

Pada satu hari di bulan September 2014 (setelah PR memerintah), Hadi Awang akan usulkan hudud di dalam Parlimen.  Maka, PAS pastinya menyokong, DAP membantah dan PKR berpecah dua.  BN pula, UMNO akan menyokong dan menyebabkan MCA, Gerakan dan MIC keluar.

Lalu, di dalam undi Dewan Rakyat kemudiannya, PAS dan UMNO akan mendapat majoriti dua pertiga lalu  Malaysia pun menjadi Negara Islam acuan PAS.

Apa yang dibayangkan beliau bukan mustahil.  Tetapi,  tiada jaminan yang ia akan terjadi sepertimana yang beliau bayangkan.  Ada kemungkinan ia terjadi begini:

Setelah PR memerintah, Anwar pun ditabalkan sebagai Perdana Menteri dan masing-masing Hadi Awang dan Lim Kit Siang menjadi Timbalan Perdana Menteri 1 dan 2.

Pada suatu hari, Hadi Awang, setelah mendapat tekanan dari akar umbi PAS, mengusulkan hudud di dalam Parlimen.  DAP pantas membantah menuduh PAS mengkhianati kerjasama PR.  Anwar bangun menghalang Hadi bercakap kerana ternyata telah melanggar perjanjian PR.   Keadaan kecoh dengan pertikaman lidah di antara ketiga-tiga parti, adegan membaling kerusi dan bertumbuk terjadi sehingga memaksa sidang ditangguhkan.

Hadi Awang dikenakan tindakan oleh Majlis Disiplin PR dan tekanan diberikan kepada PAS agar memecat Hadi Awang.  Mat Sabu kemudiannya mengambil tempat Hadi Awang dan memastikan yang PAS tidak akan lagi membuat usul mengenai hudud atau apa-apa jua yang bertentangan dengan PR terutamanya kehendak dan perjuangan DAP. Soal hudud pun tamat setakat itu.

Dengan semua kepimpinan atasan PAS telah dikuasai oleh golongan pro-Anwar dan talibarut DAP, maka usul mengenai penghapusan hak keistimewaan bumiputera pun dilakukan oleh DAP.  Begitu juga dengan Dasar Kesamarataan Total.  DAP, PKR dan PAS menyokong dan begitu juga MCA, Gerakan dan MIC.  Tinggallah UMNO keseorangan membantahnya.  Ketiga-tiga komponen BN tersebut akhirnya mengambil keputusan keluar dari BN dan BN pun berkubur.  

Di masa yang sama, Majlis Peguam dan badan-badan NGO yang bertemakan ‘hak asasi manusia’ akan mengemukakan tuntutan agar kerajaan mengiktiraf hak LGBT.   Anwar akhirnya akan mengumumkan ‘keterpaksaan’ menerima tuntutan mereka bagi meningkatkan kedudukan Malaysia dari segi ‘hak asasi manusia’ dan meletakkan negara seiring dengan negara-negara maju.

Media asing pun memuji-muji dan menyanjung Malaysia.

Dan secara tiba-tiba isu-isu berkenaan pihak istana yang mampu memberi gambaran buruk terhadap institusi Raja mula mengambil tempat di semua bentuk media di Malaysia.  Ini dilakukan secara berterusan dalam jangkamasa yang lama iaitu bertahun-tahun sehingga imej institusi tersebut menjadi buruk-seburuk-buruknya. Akhirnya, satu usul tergempar dikemukakan iaitu menghapuskan Institusi Raja-raja.  

Pada ketika ini, desas-desus pemberontakan mula kedengaran dan mungkin sudah pun tercetus secara kecil-kecilan.  Dalam sekelip mata, Malaysia bukan lagi sebuah negara yang stabil yang mampu menarik pelaburan dan pelancongan.

Tanpa pengalaman, PR gagal menjana ekonomi sedangkan mereka terperangkap untuk menunaikan segala janji bulan bintang yang terpahat di dalam Buku Jingga.   Hutang negara pun bertambah secara drastik.

Menyedari ramai rakyat mula resah dan tidak puas hati, PR perlu memastikan mereka kekal berkuasa.  Maka dengan kuasa yang ada, keputusan pilihanraya pun dimanipulasi dan sempadan pilihanraya dirombak bagi memastikan kedudukan mereka selamat.  Pengkritik mereka akan disenyapkan dengan berbagai cara sepertimana yang mereka lakukan hari ini iaitu memecat, jika pengkritik tersebut adalah orang dalam, menghitamkan media yang melaporkan salahlaku mereka dan tidak hairan juga jika ada saja yang ‘terjun bangunan’ jika berpotensi membuka pekung mereka.

Media asing yang selama ini menyokong PR mula mengkritik Malaysia. Kerajaan PR mula hilang kawalan dan media asing mula menggambarkan Anwar sebagai diktator yang boros dan tidak berwibawa dan tidak mampu mentadbir.  

Rakyat yang semakin marah mula memberontak secara besar-besaran.   Kaum Melayu yang semakin terpinggir akibat dasar kesamarataan total tidak lagi dapat menahan sabar.  Mereka juga nekad membela Raja-raja yang terbuang.  Ekonomi Malaysia ranap sepenuhnya.

Akhirnya, pihak asing pun tampil memberi ‘bantuan’ sekali gus, segala sumber dan hasil negara entah bagaimana, tiba-tiba menjadi milik mereka.

Hanya beberapa penggal PR memerintah, Malaysia kembali menjadi negara dunia ketiga.

Jika kaum Cina bimbang dengan penguasaan PAS, kaum Melayu pula bimbang dengan penguasaan DAP.  Justeru, kenapa perlu diambil risiko memberi undi kepada mana-mana dari kedua parti ini?

Di bawah BN, kaum Cina telah pun berjaya menguasai 80% kek ekonomi Malaysia.   Di bawah BN juga, Islam kekal di kedudukan tertinggi dan umat Islam berpeluang mengerjakan ibadah tanpa batasan.

Pendek kata, jika wang yang dikhuatiri oleh kaum Cina, maka BN memberi mereka peluang mengejarnya dan jika akhirat yang dikejar kaum Melayu maka BN tidak pernah menghalang mereka merebutnya.

Hidup kita ternyata aman, damai, sejahtera dan makmur di bawah pemerintahan BN.  Justeru, tepuk dada, tanya selera, apakah yang lebih penting dari keselamatan dan kesejahteraan keluarga dan generasi akan datang?   Kenapa kita harus mengambil risiko mengundi ‘malaikat yang kita tidak kenal?’

Friday, August 24, 2012

Sah! Nurul Izzah Lari Ke Titiwangsa


Sebelum ini kita pernah dikhabarkan yang Ketua Umum PKR, Anwar Ibrahim telah berura-ura untuk lari dari kampung halaman untuk mencuba nasib di Parlimen Nibong Tebal bagi menyelamatkan karier politik peribadi setelah mengetahui cengkaman pengaruhnya di Permatang Pauh saban waktu semakin merosot.

Pun demikian apabila menyedari hasratnya itu sudah terdedah pada umum, mahu tidak mahu untuk mengelak malu dan polemik yang berpanjangan, terpaksa digagahkan jua kakinya untuk terus bertahan di Permatang Pauh sekalipun tahu hujung hayat politiknya dalam PRU 13 mungkin bakal ternoktah di sana.

Rupanya bukan Anwar sahaja yang mengalami sindrom ketakutan untuk menerima penolakan rakyat kerana ia turut menjangkiti anak sulungnya, Nurul Izzah yang sekarang ini adalah Ahli Parlimen Lembah Pantai merangkap Naib Presiden PKR.

Perkembangan terbaru yang diperolehi dari sumber-sumber PKR menyebut, Nurul Izzah sudah pasti akan lari meninggalkan Parlimen Lembah Pantai setelah tidak tahan menerima asakan dari Menteri Wilayah Persekutuan & Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin yang kian melebarkan pengaruhnya di sana.

Nurul Izzah sedar kehadirannya di Lembah Pantai langsung tidak memberi impak positif kepada penduduk dan pengundi di sana, apatah lagi selepas beberapa kajian yang dilakukan oleh jentera PKR turut mengesahkan senario semasa tidak lagi memihak kepada PKR.

Hasil kajian-kajian itu turut menjangkakan peluang PKR di Lembah Pantai bukan sahaja terlampau malap malah kemenangan pastinya condong kepada BN dengan kelebihan sekitar 2,000 undi.

Sementelah lagi sudah sekian ramai hulubalang dan orang kanannya di kawasan parlimen itu telah beramai-ramai terjun dari kapal mencari perlindungan di bahtera BN, nampak gayanya terpaksa juga Nurul Izzah mengorak langkah mencari kawasan baru yang difikirkannya masih putih untuk menerimanya.

Mengikut maklumat tersebut lagi, kawasan parlimen baru yang bakal ditandingi oleh Nurul Izzah ialah Titiwangsa yang sebelum ini dikuasai oleh calon PAS, Allahyarham Dr. Lo'Lo yang memenangi parlimen tersebut dengan majoriti 1,972 undi.

Sebagai ganti peralihan kerusi tersebut, PKR akan menyerahkan kerusinya di Parlimen Wangsa Maju untuk ditandingi oleh calon PAS.

Pada PRU 2008, Parlimen Wangsa Maju dimenangi calon PKR, Wee Choo Keong selepas menewaskan penyandang asal dari BN dengan majoriti 150 undi. Wee, bagaimanapun meninggalkan PKR pada Mei 2010 dan kekal sebagai wakil rakyat Bebas sehingga sekarang.

Nurul Izzah mungkin berasa lega kerana merasakan sudah ketemu kawasan yang dikiranya selamat, tapi dengan senario hari ini yang makin memihak kepada BN dan gelombang penolakan rakyat terhadap pembangkang semakin kuat melanda negara, angan-angan Nurul Izzah untuk sekali lagi menjadi 'yang berhormat' nampaknya masih terlalu jauh dari jangkauan.

Sunday, August 5, 2012

Siapa Paling Cantik Di Mata Lim Guan Eng?



Beberapa minggu lalu, politik tanahair dikejutkan dengan pendedahan panas melibatkan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dengan bekas pekerjanya, Ng Phaik Kheng yang didakwa mempunyai skandal sulit dan lagi menyulitkan.

Skandal sulit tersebut tambah panas diperkatakan ramai apabila turut mendapat tempat dalam Sidang DUN Melaka berikutan desakan beberapa wakil MCA yang mahukan isteri Lim yang juga ADUN Bukit Tunggal, Betty Chew memberi penjelasan terhadap isu itu.

Penjelasan itu diminta kerana timbul dakwaan kecederaan di dahi Lim dikatakan akibat terkena hentakan sesuatu benda keras selepas diserang oleh Betty yang ketika itu berang dengan skandal sulit membabitkan Lim dan Ng Phaik Kheng.

Namun kini selang beberapa ketika dan isu skandal tersebut pun sudah sedikit reda, tidak semena-mena khalayak umum khususnya rakan-rakan rapat Betty dikejutkan dengan perubahan ketara isteri Ketua Menteri Pulau Pinang itu.

Perubahan gaya dan penampilan barunya dengan imej yang lebih elegan nyata agak drastik walaupun mengejutkan namun berbaloi kerana ramai yang memuji anjakan imej yang tiba-tiba sahaja dilakukan oleh Betty Chew.

Inilah yang dapat dilihat di satu majlis keraian rasmi yang dihadirinya sehari dua lepas yang menyaksikan kehadirannya dengan imej baru tersebut telah berjaya menarik perhatian ramai tetamu di majlis tersebut malah turut diperkatakan oleh akhbar-akhbar Cina.

Betty kelihatan cantik dan seakan muda beberapa tahun berbanding usia sebenarnya malah saling tak kalah jika digandingkan dengan gaya wanita lain yang sentiasa mengikut fesyen kontemporari.

Sebelumnya agak sukar untuk melihat Betty tersenyuman simpul apatah lagi bergaya manis kerana sikap dan perwatakan dirinya agak terkenal sebagai kurang mesra, tapi dengan penampilan terbarunya ini kemesraan yang ditonjolkan nyata agak terasa perbezaannya.

Melihat pada perubahan tiba-tiba ini tidak sukar untuk kita andaikan ada sesuatu yang memaksa dirinya melakukan semua ini, setidak-tidaknya mungkin untuk mengurangkan tekanan dalam diri atau barangkali mahu menawan kembali hati gersang sang suami.

Dari segi usianya memanglah sudah sedikit lanjut jika dibandingkan dengan wanita muda seperti Ng Phaik Kheng atau mesra dipanggil sebagai Rainbow oleh Lim Guan Eng, akan tetapi itu bukannya satu halangan untuk Lim & Betty kembali bertaut kasih.

Cumanya sekarang, apa pula kata hati Lim Guan Eng melihat perubahan ketara isterinya itu? Mustahil sedikit pun tidak terlintas untuk menghargai kesanggupan isteri tersayang bergaya sakan demi menambat kembali hatinya.

Di antara Rainbow yang masih muda, cantik dan manja dibandingkan dengan isterinya Betty Chew yang sedikit tua tapi sudah pandai bergaya kelihatan cantik dipandang mata, agaknya siapakah yang paling cantik dan menarik di mata Lim Guan Eng?

Mungkinkah dari segi perwatakan Rainbow yang lebih manja akan lebih menarik perhatian hatinya atau dahinya yang pernah terluka akan memaksa dirinya kembali memuja Betty yang sedang sakan bergaya?

Wednesday, August 1, 2012

Perjuangan BN Demi Rakyat, Demi Masa Depan



Sesuatu produk yang baik akan bertahan lama, biarpun begitu banyak produk baru yang muncul di pasaran.   Malah, produk-produk baru itu juga tidak dapat tidak akan mencuba sedaya upaya untuk meniru atau menciplak produk lama itu.   Seringkali terjadi, pengguna yang telah mencuba produk baru akan kembali menggunakan yang lama kerana tidak berpuas hati dengan kualiti produk ciplak atau tiruan.  Produk asal  yang asli dan berkualiti akan tetap di hati dan bertahan biarpun berdekad-dekad lamanya.

Begitulah halnya dengan Barisan Nasional yang tetap bertahan biarpun usia sudah menjangkau 55 tahun.  Biar begitu banyak saingan dari parti-parti lain, termasuk parti-parti baru yang berusaha untuk meniru atau menciplak BN, namun produk tiruan tidak mungkin sama dengan yang asli.

Persoalannya, bagaimana BN boleh bertahan walaupun berbagai-bagai tohmahan dilemparkan bagi memburukkan imej dan reputasinya?   Jawapannya, kerana semua rakyat dapat melihat bukti nyata, selama tahun demi tahun, bahawa perjuangan BN adalah demi rakyat dan demi masa depan negara, bukan demi individu atau kumpulan tertentu.

Ini sama seperti seorang peniaga yang berniaga dengan ikhlas, memberi khidmat terbaik atau memastikan kualiti terbaik produknya untuk kepuasan pengguna dan bukannya berniaga hanya kerana ingin untung besar.

Dan inilah yang tidak dapat difahami oleh musuh-musuh atau pesaing-pesaing BN di dalam politik.

Kebanyakan mereka, hanya ingin ‘untung besar’ iaitu memegang kuasa tetapi tidak punya keikhlasan untuk berkhidmat kepada rakyat.  Oleh itu, segelintir rakyat mungkin terpedaya sebentar dengan promosi, iklan atau lebih tepat, dakyah-dakyah mereka tetapi kemudiannya, rakyat akan tetap kembali kepada BN kerana percaya hanya produk BN yang benar-benar asli lagi berkualiti.  Hanya BN yang mampu membawa Malaysia ke tahap ini.

Sejarah telah merekodkan bagaimana BN berjaya mengekalkan keamanan di saat kritikal.  BN berjaya membawa kita mengharungi beberapa krisis ekonomi dunia dengan aman dan tanpa rakyat terjejas teruk.

Malah, hari ini, di kala dunia sedang dalam kritikal,  sehingga Greece bankrap dan Sepanyol, Portugal dan Itali serta Britain juga sedang bergelut dengan krisis ekonomi tetapi Malaysia masih ‘bergaya’ dengan kadar pertumbuhan ekonomi di tahap empat ke lima peratus lebih baik dari Eropah dan Amerika.

Rakyat di negara Arab pula sibuk memberontak serta memusnahkan kehidupan sendiri, manakala sebahagian lagi negara di dunia menghadapi perang saudara, pembunuhan etnik, kebuluran dan berbagai-bagai lagi yang mungkin akan dapat diatasi jika kerajaan mereka lebih cekap dan prihatin.  Tetapi ini tidak berlaku di Malaysia walaupun kita hidup berbilang kaum dan berbagai agama.

Benar kita merasa sedikit ‘sesak’ kerana kos sara hidup yang semakin tinggi tetapi adalah munafik bagi sesiapa yang menafikan bahawa rakyat Malaysia amat mewah dengan makanan sehinggakan di bulan Ramadhan ini pembaziran berleluasa dan berbuka di hotel masih menjadi budaya.

Semua ini adalah mustahil sekiranya kerajaan BN bukan sebuah kerajaan yang baik.

Di celah-celah itu, walaupun seimbas pandang rakyat Malaysia sudah cukup mewah dan selesa, namun BN tetap memberikan bantuan langsung dalam berbagai bentuk seperti BR1M, KR1M, TR1M, Klinik 1Malaysia, durian runtuh untuk warga Felda, Bonus untuk kakitangan awam, Duit raya untuk warga Felda dan sebagainya, demi untuk meringankan beban rakyat.

Tidak keterlaluan jika dikatakan bantuan tersebut hanyalah untuk membantu rakyat untuk ‘mengekalkan kemewahan’ dan bukannya untuk mengurangkan penderitaan.  Ini kerana, jarang sekali rakyat yang menerima bantuan itu berada di tahap begitu miskin sehingga tidak cukup makan dan menderita.

Hakikatnya, walaupun sering mengeluh akan kos sara hidup yang tinggi, namun, hampir kesemua yang mengeluh itu masih bermewah berbelanja di bazaar Ramadhan ini.  Ertinya, tahap ‘menderita’ rakyat Malaysia tidak mungkin terbanding dengan tahap ‘menderita’ rakyat di Syria, Afrika, Rohingya, malah mungkin juga sebahagian rakyat Amerika yang berhadapan dengan kadar pengangguran yang tinggi sehingga memaksa mereka menjadi gelandangan.  Sedangkan di Malaysia, walaupun menganggur, entah bagaimana, kita tetap cukup makan juga.  

Inilah realitinya di Malaysia dan semua ini tidak mungkin menjadi realiti jika BN bukan sebuah kerajaan yang baik.  Kita yakin, masa depan bersama BN akan kekal cerah dengan komitmen pemimpinnya untuk meneruskan cara berkhidmat atas dasar Demi rakyat dan Demi Masa Depan.