Thursday, November 11, 2010

Jadikan kemenangan Galas, Batu Sapi titik kebangkitan BN - TPM

KOTA KINABALU 11 Nov. - Tan Sri Muhyiddin Yassin mahu kemenangan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil Parlimen Batu Sapi dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas dijadikan titik permulaan bagi menyemarakkan kebangkitan BN pada pilihan raya umum akan datang.

Untuk itu, tegas Timbalan Perdana Menteri, setiap parti komponen BN perlu memperkukuhkan parti masing-masing selain memastikan permuafakatan di antara parti terus terpelihara.

''BN kini sudah kembali tetapi dengan cabaran berbeza. Kita perlu bersedia berdepan dengan corak baru pemikiran dan harapan masyarakat hari ini.

''Jika tidak, tidak mungkin mereka (rakyat) akan menyokong kita, jika kita tidak membawa perubahan," katanya ketika merasmikan Persidangan Tahunan Perwakilan Parti Bersatu Sabah (PBS) di Dewan Hongkod Koisan, Penampang di sini hari ini.

Muhyiddin berkata, kemenangan besar BN di Batu Sapi dan Galas menunjukkan keyakinan rakyat semakin bertambah kepada gabungan parti kerajaan itu. Bagaimanapun, beliau mengingatkan semua ahli BN supaya tidak leka dan mendabik dada dengan kejayaan tersebut.

''Kita perlu bekerja dengan lebih gigih lagi memperkuatkan parti kerana jika kita kuat, musuh kita akan gentar dan lari.

''Lihat parti pembangkang, kini cacamarba. PKR (Parti Keadilan Rakyat) kini 'parti kian runtuh' tetapi BN semakin kuat hasil usaha dan permuafakatan semua pihak," ujarnya.

No comments:

Post a Comment