Monday, October 1, 2012

Bajet Alternatif Bercanggah Dengan Buku Jingga



Bajet yang dibentangkan oleh Dato’ Seri Najib nampaknya cukup ampuh sehingga menyebabkan Pakatan Rakyat terpaksa terus memperkatakannya semata-mata untuk mencari kelemahan dan menimbulkan keraguan.   PR juga harus terus mempertikaikan Bajet tersebut bagi mengalih pandangan rakyat daripada Bajet tong kosong yang dibentangkan mereka.

Secara amnya, jumlah peruntukan antara kedua-dua Bajet tidaklah banyak berbeza.  Yang membezakan kedua-duanya ialah pertama, ruang lingkup atau skop golongan rakyat yang mendapat manfaat di mana Bajet BN merangkumi semua golongan dari OKU hinggalah kepada korporat tetapi Bajet PR hanya melibatkan rakyat secara umum.

Keduanya ialah perancangan BN jelas mengambil kira kesan dalam jangka masa panjang tetapi PR hanya fokus kepada kesan segera.

Ketiganya, Bajet BN adalah menjurus kepada kesejahteraan rakyat dan kemajuan negara tetapi PR hanya menumpukan kepada faedah langsung kepada rakyat tanpa memikirkan kesannya kepada ekonomi negara.

Keempat, Bajet BN adalah selari dan tidak pernah tergelincir dari corak dan jatidiri negara yang berlandaskan dasar-dasar ekonomi sedia tetapi Bajet PR kelihatan cenderung untuk mencabar dasar-dasar negara, malah tidak begitu konsisten dengan Buku Jingga mereka sendiri.

Antaranya, penghapusan duti eksais kenderaan sebanyak 20%, pendidikan percuma dan penghapusan PTPTN.

Menurut laman Suara PR, alasan ia tidak selari dengan Buku Jingga ialah kerana kesemua insentif tersebut bersifat jangka panjang sedangkan Buku Jingga adalah janji 100 hari pertama Pakatan Rakyat jika diberi kuasa untuk memerintah negara.

Malah, laman tersebut juga mengakui bahawa penghapusan PTPTN tidak akan berlaku dalam sekelip mata tetapi mengambil masa 2 tahun, begitu juga dengan penghapusan tol di mana yang dijanjikan di dalam Buku Jingga bukanlah penghapusan segera tetapi ‘tindakan segera (dalam masa 100 hari) untuk mengarahkan Khazanah Berhad, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)  dan lain-lain badan milik kerajaan yang memiliki konsesi lebuhraya untuk  menyempurnakan ambil alih aset lebuhraya oleh kerajaaan dengan tujuan  menghapuskan tol’.

Jawapan yang diberi oleh PR mengenai percanggahan Bajet Alternatif dengan Buku Jingga menunjukkan yang mereka sememangnya berniat untuk mengelirukan rakyat.  

Bagi menutup mata rakyat dari menyedari putar-belit mereka, PR mewar-warkan bahawa Bajet yang dibentangkan mereka akan membolehkan rakyat memiliki pendapatan boleh diguna pakai tambahan sebanyak RM930 setiap bulan iaitu dari penjimatan harga kereta yang lebih rendah iaitu sebanyak RM70, penjimatan daripada penghapusan tol (RM50), penghapusan pinjaman bagi peminjam PTPTN yang layak (RM200), elaun pengajaran khas yang dijanjikan dalam Buku Jingga (RM500), sumbangan kerajaan ke dalam Caruman Wanita Nasional (RM50) dan penjimatan daripada harga makanan dan barangan susulan kos minyak dan pengangkutan (RM60).

Kita percaya, bukan semua rakyat Malaysia buta ekonomi seperti Anwar Ibrahim yang hanya berkelulusan Pengajian Melayu dengan gred cukup-cukup makan.   Dan kita pasti, hujah penjimatan RM930 ini tidak mampu memperdaya rakyat yang benar-benar bijak.

Bukan semua rakyat terlibat dengan pinjaman PTPTN, dan bukan semua rakyat bekerja sebagai guru yang akan mendapat elaun RM500 sebulan serta bukan semua rakyat perlu melalui jalan bertol, melainkan mereka yang tinggal di bandar besar.  Sedangkan majoriti rakyat berada di kampung-kampung dan bandar-bandar kecil.   Oleh itu, bagaimanakah nilai penjimatan RM930 itu bagi diri mereka-mereka ini?

Selain itu, penjimatan harga kereta sebanyak RM70 tidak akan membawa banyak perbezaan.  Manakala penurunan harga minyak dan makanan adalah bergantung kepada harga pasaran dunia dan bukan seratus-peratus di tangan kerajaan PR.

Namun, katakanlah kerajaan PR masih mampu menunaikan semua janji ini, rakyat mungkin boleh bergembira, tetapi hanya untuk sekejap cuma.  Ini kerana pendidikan percuma, penghapusan PTPTN dan tol, penurunan harga minyak dan barangan serta duti eksais kenderaan bakal meletakkan negara dalam keadaan krisis dalam masa hanya beberapa tahun dari perlaksanaannya.

Pendidikan percuma serta penghapusan tol dan PTPTN bermakna kos akan ditanggung oleh kerajaan, sekali gus menjejaskan peruntukan untuk bantuan dan program lain yang lebih memberi manfaat kepada rakyat.  Selain menyumbang kepada masalah lain iaitu kualiti pelajar yang menurun lalu membawa kepada masalah sosial yang bertambah.   Begitu juga dengan kualiti penyelenggaraan lebuhraya juga tidak mustahil akan mengalami nasib yang sama.

Manakala penghapusan duti eksais kenderaan sebanyak 20% pula akan menyebabkan industri kereta terpaksa menanggung harga barangan yang lebih tinggi untuk terus beroperasi serta mampu membunuh industri automobil nasional dalam jangka masa panjang.  Ini pastinya satu kerugian yang besar untuk negara dan juga rakyat termasuk vendor-vendor yang terlibat dalam industri ini.

Begitu juga dengan perancangan PR untuk memecahkan monopoli dalam perniagaan yang mana mendedahkan GLC kepada pemilikan asing selain ‘menjerut’ peluang kaum bumiputera untuk sama-sama duduk di bangku korporat.

Dari semua ini, kelihatan jelas bahawa PR menganggap rakyat semua adalah bodoh-bodoh belaka dan tidak mampu mengupas dan meneliti kesan jangka panjang dari Bajet yang dibentangkan mereka.  

Hakikatnya, rakyat dapat melihat dengan jelas bahawa PR tidak berpandangan jauh dalam merancang Bajet kerana Bajet Alternatif PR adalah sebenarnya Bajet Pilihanraya.  Oleh itu, segala-galanya difikir dan dibentangkan untuk menang pilihanraya bukan untuk kesejahteraan rakyat dan negara.

No comments:

Post a Comment